Saturday 10 April 2010

~Keajaiban Mereka dalam Mentaati Perintah Allah~

Diri saya terpanggil untuk membicarakan tentang tajuk ini atas kekaguman saya apabila mendengar, membaca, mengetahui dan menghayati sirah-sirah nabawiyah bersama para sahabat dan umat selepasnya. Memuhasabah diri saya dan membandingkan dengan keperibadian mereka. Memperbaiki diri saya agar mampu mengapai cinta Ilahi, insyaAllah.

Di dalam salah satu kitab yg dikarang oleh As-syeikh Syed Abul Hassan Ali An-Nadwi, ada dinyatakan tentang ciri-ciri mujtama' islami yang dibentuk oleh Rasulullah SAW. Salah satu ciri yang dinyatakan oleh beliau di dalam buku yang dikarang olehnya adalah tentang keajaiban umat di zaman itu dalam mentaati perintah Allah..

Salah satu contoh yang dapat kita lihat tentang keperibadian mereka dalam mentaati perintah Allah adalah semasa bermulanya pengharaman arak kepada umat islam. Pada masa tersebut, orang arab ini sangat mengagungkan arak sehingga balang-balang arak disimpan di dalam balang yang diletakkan di atas rumah. Mereka sangat suka meminum arak sehingga keluar dan berjalan dengan tangan membawa botol-botol arak. Setelah arahan pengharaman arak secara total diturunkan oleh Allah pada peringkat ketiga, maka sahabat-sahabat yang mendengar ayat Allah ttg pengharaman tersebut seperti orang yg kelam kabut pulang ke rumah mereka dan memecahkan kesemua balang-balang arak yg berada di rumah mereka. Mereka memecahkan balang-balang arak itu sambil mengucapkan, "kami taat ya Allah, kami taat ya Allah, kami memohon keampunan ya Allah, kami memohon keampunan ya Allah". Sehingga ada yang menyatakan bahawa Bandar Madinah pada masa tersebut seperti sebuah bandar yang dilanda dengan banjir kecil akibat banyak balang-balang arak yang dipecahkan oleh para sahabat kerana takut dan taat mereka kepada Allah.

MasyaAllah, tidak mampu untuk membayangkan ketaatan mereka terhadap perintah Allah dan Rasulullah. Kerana mereka pada masa itu mereka adalah orang yg sangat cinta kepada arak. Meminum arak pagi dan petang. Bagaimana mereka ini adalah umat yang ditarbiyah oleh Rasulullah iaitu ummah yang tidak hanya lahir dan difahamkan oleh teori semata-mata tetapi mereka juga berjaya dalam ujian praktikal. Tidak hanya mengetahui dari segi teori semata-mata, tetapi patuh dan taat dengan perbuatan. Tanpa sebarang dalih, tanpa sebarang alasan. Mereka taat, mereka patuh.

Adakah masih ada generasi seperti ini di dunia.. Adakah kita mampu menjadi seperti mereka. Generasi yang taat pada perintah Alla. Bukan sahaja taat kepada perintah Allah,tetapi bekerja untuk melahirkan ummah yang sangat cinta kepada Allah dan Rasulullah. Masyarakat yang soleh dan musleh. Tarbiyah yang dijalankan oleh Rasulullah. Sehingga mampu melahirkan daie-daie yang aqidahnya adalah sahih dan benar. Dan kita bukanlah golongan yang memulakan dakwah yang dijalankan oleh mereka. Wanauzubillah, bukanlah golongan yang menamatkan penerusan proses dakwah ini. Kita adalah orang yang menyambung dan memeruskan proses dakwah yang dilakukan oleh mereka.. Semoga kita termasuk dalam golongan amilin yg bekerja untuk islam, bersenang dan bersusah untuk islam, lapang dan sempit untuk islam, hidup dan matinya kerana islam...

No comments: